Dividen SSPN Tahun 2019

Dividen SSPN Tahun 2019

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2019 sebanyak 4%. Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM147.25 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 4.39 juta pendeposit SSPN. Ini menjadikan keseluruhan dividen SSPN sebanyak RM647.65 juta telah diagihkan kepada pendeposit sehingga kini.

Kadar dividen 4 peratus yang diberikan kepada pendeposit SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN. Tahun 2019 merupakan tahun yang membanggakan dalam sejarah PTPTN menguruskan instrumen simpanan pendidikan melalui produk penabungan SSPN. Jumlah keuntungan pelaburan yang terkumpul mencatatkan peningkatan sebanyak 25.52% iaitu sebanyak RM205.27 juta pada tahun 2019 berbanding 163.54 juta pada tahun 2018.

Hasilnya, pada tahun 2019, PTPTN telah berjaya mencapai peningkatan tertinggi jumlah simpanan SSPN dengan keuntungan pelaburan yang mampan sehingga mampu memberikan dividen yang kompetitif kepada pendeposit SSPN. Jumlah kutipan deposit SSPN bagi tahun 2019 berjumlah RM1.37 bilion. Ini merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh PTPTN semenjak produk SSPN diwujudkan pada tahun 2004. Pencapaian ini menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak RM240 juta atau 21.24% berbanding tahun 2018 sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga Disember 2019 berjumlah RM5.88 bilion.

Peningkatan ini memberi petunjuk bahawa semakin ramai rakyat Malaysia yang telah mula sedar tentang kepentingan membuat perancangan kewangan demi memastikan cita-cita melihat kejayaan anak-anak melanjutkan pengajian tercapai. Ia jelas apabila pada tahun 2019 sebanyak 455,952 akaun baharu telah dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sehingga Disember 2019 sebanyak 4.39 juta akaun sejak 15 tahun SSPN diperkenalkan.

SSPN merupakan skim simpanan pendidikan yang wajar dimiliki oleh setiap isi rumah kerana ia bukan hanya simpanan semata-mata tetapi turut menawarkan pelbagai keistimewaan serta manfaat yang baik dan menyeluruh. Masyarakat Malaysia perlu merebut peluang menyimpan di dalam SSPN kerana SSPN mampu merealisasikan impian dan harapan anak-anak ke menara gading.

Kepada anda masih masih belum mempunyai akaun SSPN, jom buka akaun SSPN hari ini juga untuk menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan.